Kisah kampung Pinang

Sana-sini orang cakap pasal PRU. Si Labu mula rajin turun padang. Pakcik Din yang kerja nelayan minta enjin bot baru si Labu bagi sambil sengih-sengih macam kerang busuk. Makcik Eton yang jual keropok lekor ada lima orang anak termasuk si Siah yang baru masuk universiti minta bantuan sikit untuk belanja rumah, si Labu hulur tiga empat ratus, senang hati. Abang Leman yang lumpuh sejak dua tahun lepas pun dapat juga. Kesian tengok bini abang Leman kerja siang malam nak sara anak kecil tiga orang, kata si Labu. Padahal kalau dulu dipanggil singgah rumah pun dia tarik muka. Susah benar mahu duduk lama-lama, sibuk katanya.
Surat-surat tulisan tangan dari Pak Mail, makcik Timah, si Jenab janda anak dua yang meminta tolong si Labu untuk ringankan sikit beban diaorang, masih ada lagi dalam fail KIV dia. Berzaman dah. Kebetulan PRU tak lama lagi, disuruhnya si Lina secretary yang bendul tu bongkar file-file lama, cari semua surat-surat dari orang kampung yang dia terima sejak jadi YB. Tapi sampai sekarang tak tertunai lagi. Tak boleh lupa juga surat dari JKK kampung yang minta balai raya baru tiga tahun lepas. Semuanya jadi penting. Semuanya kalau boleh si Labu nak lunaskan secepat mungkin. Kalau tak, mana mungkin diaorang akan undi dia lagi. Tiadalah modalnya dibuat berkempen.
Dulu Labu jarang-jarang datang kampung. Kalau datang pun setakat dua tiga jam je. Tak tanya khabar penduduk kampung pun, asal nampak muka je. Kalau sekolah jemput nak minta rasmi majlis pun, selalu sangat dihantar wakil. Entah apa yang disibukkan sangat. Masa berkempen dulu bukan main lagi janji itu ini. Semangat bukan main. Orang kampung percaya bukan apa, dulu dia cikgu. Kerja cikgu ni biasa orang kampung pandang tinggi. Lepas dah jadi YB, Labu berhenti jadi cikgu, dia buka kedai dobi kat bandar. Bini dia yang dulu ambil tender kantin kat sekolah pula dikasi modal buka restoran. Masing-masing jadi tauke. Itu yang sibuk sangat kot sampai tak ada masa nak lawat kawasan.
Penduduk kampung Pinang pula dah tak sabar nak pilihanraya. Bukan apa, lumayan juga habuan yang diaorang dapat semasa pilihanraya lepas. Penyokong-penyokong calon yang bertanding setiap hari ketuk pintu rumah orang kampung, offer beberapa keping not warna merah asalkan diaorang janji untuk pangkah calon parti yang dikempen. Ah! Orang memberi kita merasa, kata Abas, pemuda 27 tahun yang menganggur dan masih mengharap duit dari bapanya. Disuruh cari kerja, ada saja alasan. Konon semua kerja yang dia pohon ditolak. Mana tak nya, SPM pun tak lepas ada hati pula nak minta kerja ofis. Kerja ada aircond. Nak pakai smart-smart. Orang offer kerja jaga pun dah cukup baik. Orang macam Abas mestilah suka dengan season hangat begini. Selain dapat duit free, kerja part time tampal poster pun seronok. Dapat lah dua tiga ratus untuk modify motor buruk dia tu.
Bukan Labu seorang saja yang sibuk mahu tolong orang kampung last minute begini, orang kanan dia si Roslan tu sibuk tempah poster, banner, t-shirt, topi, key chain dan badge untuk kempen nanti. Konon-konon merchandise untuk orang kampung lah. Bukannya sikit, ada juga lah dalam tiga empat guni. Si Samad dan kawan-kawan dia yang memang terror PA system pula dah standby, khemah-khemah pun dah tersedia depan rumah, tinggal nak tunggu tarikh kempen diumumkan oleh Pengerusi SPR. Dah umum nanti, sekelip mata naik lah khemah-khemah tu. Laju betul si Labu dan orang-orang dia buat kerja nak berkempen, tapi tak pernah pula difikirnya apa jasa yang dah dia buat untuk orang kampung yang undi dia dulu.
Keraknasi: Berdebar menanti PRU tahun ni, saat genting, masa penentuan kata orang. Hari mengundi nanti, undi lah dengan bijak, kerana orang yang kita undi dan pilih itu yang akan mewakili kita, yang akan bekerja untuk kita. Silap haribulan, kita pula yang terpaksa bekerja untuk dia.



3 Comments to “Kisah kampung Pinang”