Pen dan kertas

Aku ulat buku. Aku suka membaca. Aku boleh membaca buku-buku pelbagai genre asal saja ia menarik. Kau beri aku buku berkaitan ekonomi, sains, sastera, atau apa saja yang bukan bidang aku tetapi jika ia bagus mengapa tidak. Minat membaca ini aku pupuk dari kecil lagi. Aku juga masih punya koleksi buku dan komik semenjak sekolah rendah sehingga sekarang. Masih berkeadaan baik.
Dulu aku ada tabiat membaca yang kawan-kawan aku kategorikan sebagai pelik. Aku lekapkan empat jari tangan kiri di bahagian kiri buku, empat jari tangan kanan di sebelah kanan sementara ibu jari dilekapkan di mukasurat terkini bacaan. Alasannya untuk menyokong kulit buku daripada lunyai. Aku juga tidak akan buka habis buku itu untuk mengelakkan garisan tengah terhasil pada kulit buku. Aku mahu pastikan buku mesti kelihatan baru sama seperti ketika aku membelinya. Kawan-kawan yang mahu meminjam buku-buku aku juga harus mematuhi cara aku. Deal or no deal. Tidak sanggup, maka aku tidak pinjamkan. Senang saja.
Eleh.. Semangat je sebab buku baru. Lama-lama lunyai juga buku tu nanti.
Seorang kawan mengejek, selepas aku beri syarat untuk menjaga buku yang dipinjam mengikut cara aku.
Eh, tidak. Memang dari dulu style Keraknasi jaga buku begitu.
Seorang kawan yang lain membela aku. Kawan yang mengejek tadi aku kenal tidak sampai dua tahun. Kawan yang membela aku tu sejak tingkatan satu, hampir lima tahun. Mind you, melalui personaliti yang ditonjol aku, kau tidak akan tahu aku seorang pencinta buku. Ya, siapa sangka kan?
Aku tersenyum, kawan yang mengejek tu cuma berkata “Ooo…” dan buku-buku tetap telah menjadi sahabat aku sedari kecil.
Keraknasi: Mencari software percuma yang boleh menkatalog koleksi buku-buku keraknasi dengan sistematik.
Kredit foto: http://chocolate-chandelier.deviantart.com/


